Kuala Lumpur, 19 Mei 2018 18 - Polis menumpaskan enam daripada lapan penjenayah bersenjata beberapa minit selepas kumpulan itu menyamun sebuah kedai emas yang terletak di dalam sebuah pusat beli belah di Damansara Jaya, Petaling Jaya dekat sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 5 petang itu, dua daripada mereka ditembak mati manakala empat lagi ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kelapan-lapan suspek dipercayai warga tempatan yang memakai topi keledar berpenutup penuh meluru masuk ke pusat beli belah itu menuju ke kedai emas tersebut.
"Kesemua mereka masuk ke premis tersebut sebelum memecahkan cermin pameran dengan tukul besi dan mengaut sejumlah barangan kemas sebelum melarikan diri.
"Sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor yang terserempak dengan mereka telah mengarahkan mereka menyerah diri namun mereka cuba menyerang polis dan kita tidak mempunyai pilihan selain melepaskan tembakan ke arah mereka," katanya.
Fadzil memberitahu, dua daripada mereka mati di tempat kejadian dan seorang daripada mereka terkena tembakan di bahagian badan manakala tiga lagi diberkas di pusat beli belah tersebut.
Katanya, hasil daripada pemeriksaan polis menemukan sepucuk pistol automatik, revolver dan pistol angin yang digunakan penjenayah.
"Kami juga menemukan kembali barangan kemas yang disamun penjenayah dan buat masa ini kami sedang mengesan dua individu atau lebih penjenayah yang terlibat dalam kejadian ini.
"Polis juga sedang mendapatkan anggaran sebenar jumlah kerugian yang dialami kedai barangan kemas tersebut. Malah kami juga dijangka dapat menyelesaikan lapan kes sama di ibu negara, Selangor dan Negeri Sembilan " ujarnya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392, Seksyen 397 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan bersenjata.