KUALA TERENGGANU - Polis akan meningkatkan pemantauan jualan mercun sepanjang bulan Ramadan ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Wan Mohd berkata, langkah itu diambil bagi memastikan tiada pihak yang berani mengambil kesempatan menjual bahan terlarang pada musim perayaan ini.
Menurutnya, pemantauan rapi akan dilaksanakan oleh setiap ketua polisdaerah di kawasan masing-masing.
“Setakat hari ini, tiada sebarang permit atau kebenaran menjual mercun kecuali beberapa kategori mercun dan bunga api yang dibenarkan sahaja.
“Sebagai contohnya mercun Pop-Pop dan beberapa jenis lagi manakala yang lain semuanya tidak dibenarkan.
“Jadi selepas ini, jika kita dapati masih ada peniaga yang berdegil menjual barang terlarang, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Amanat dan Surat Penghargaan kepada Pegawai dan Anggota Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu di Dewan Redang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, semalam.
Selain itu, Wan Ahmad Najmuddin berkata, sepanjang bulan puasa ini juga pihaknya turut memberi fokus terhadap jenayah curi motosikal.
“Kelazimannya kes kecurian kenderaan terutama motosikal sering berlaku di tempat tumpuan ramai seperti bazar Ramadan, pusat membeli-belah dan kawasan masjid atau surau,” katanya.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 20 pegawai dan anggotapolis menerima surat penghargaan kerana kejayaan menyelesaikan kes pedofilia di Marang baru-baru ini.
Dalam kes itu, seorang lelaki berjaya dihadapkan ke mahkamah atas 16 pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak berusia antara 8 hingga 12 tahun.
Bacaan lanjut di Sinar Harian.