Menu

SUSU TEPUNG TAKTIK TERBARU MACAU SCAM

Balik Pulau, 29 Mei 2018 - Pelbagai taktik digunakan sindiket Macau Scam untuk memperdaya orang ramai bagi mendapatkan wang dengan mudah.

Terbaru, sindiket ini menghubungi mangsa memaklumkan mereka perlu membayar tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk penyeludupan kontena mengandungi susu tepung.

Mereka dikesan menyamar sebagai pegawai kastam serta menghubungi dan mengatakan semua barang terbabit didaftarkan atas nama mangsa.

Sekiranya tidak mahu ditimpa masalah, mangsa perlu membayar tunggakan GST itu dengan memasukkan wang ke dalam akaun.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, dalam kejadian Khamis lalu, pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa yang mendakwa ditipu sindiket berkenaan membabitkan kerugian mencecah RM10, 000.

Menurutnya, sindiket yang menyamar pegawai kastam itu memberitahu mangsa yang dia mempunyai tunggakan GST bagi pembelian susu tepung yang diseludup dalam kontena.

"Sindiket terbabit kemudian memaklumkan yang susu tepung itu sudah dirampas serta disimpan di balai polis dan mereka akan menyambung talian untuk mangsa berbincang dengan `pegawai polis' terbabit.

"Mangsa kemudian diarah membuat pindahan wang kononnya untuk mengelak akaun bank dibekukan atau dirampas," katanya.

Anbalagan berkata, sindiket juga menabur janji kononnya mangsa akan mendapat kembali wang yang diserahkan selepas siasatan selesai dijalankan.

"Bagaimanapun, semua itu hanyalah taktik mereka dan mangsa hanya menyedari ditipu selepas beberapa hari menyerahkan wang terbabit.

"Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengabaikan sebarang panggilan telefon yang mencurigakan serta jangan mendedahkan sebarang maklumat peribadi," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh bermula 1 Januari hingga 27 Mei tahun ini, pihaknya menerima 23 laporan penipuan pembayaran GST di Barat Daya.

"Daripada jumlah laporan itu, empat kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian RM51,300 dan ketika itu sindiket menggunakan taktik pembelian telefon bimbit.

"Namun, kini mereka mengubah taktik dengan menggunakan alasan seludup tepung susu untuk mengaburi mata orang ramai," katanya.

Sumber : Berita Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS