Manjung , 2 Jun 2018 - Gara-gara tidak tahan sering diasak supaya membayar hutang perniagaan dipercayai punca seorang warga emas menembak mati rakannya sebelum bertindak membunuh diri dalam insiden di sebuah restoran di Kampung Koh dekat sini malam tadi.
Lelaki tersebut, Chu Phan Hoo, 62, ditemukan mati dipercayai menembak dirinya sendiri di dalam kereta jenis Toyota Fortuner di tepi bangunan kedai di Simpang Dua, kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia menembak rakannya, Ling Iu King, 66.
Ling maut ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Seri Manjung.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, SAC Yahya Abd Rahman berkata suspek dan mangsa telah minum bersama dan dipercayai mabuk sebelum berlaku perselisihan faham kira-kira 11 malam.
"Suspek telah menembak kaki mangsa dan kemudian semasa di hadapan kedai mangsa ditembak lagi sebelum suspek kemudiannya melarikan diri bersama pistol mangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Yahya berkata pemeriksaan di dalam kereta suspek menemukan pistol jenis semi auto beserta kelopak peluru pada celah paha suspek dan senapang patah di tempat duduk sebelah pemandu.
“Kedua-dua mangsa dan suspek mempunyai lesen senjata api. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Muhammad Hanif Othman berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan insiden tersebut berpunca daripada masalah peribadi antara kedua-dua individu terbabit.
Dalam satu sidang media di sini, beliau bagaimanapun berkata punca sebenar kejadian masih lagi disiasat selain percaya suspek nekad menembak rakannya kerana sering didesak membayar hutang.
“Suspek dan mangsa kedua-duanya telah lama mengusahakan ladang ternakan ayam. Mereka saling berhubung dan berurusan untuk mendapatkan bekalan ayam," katanya.
Muhammad Hanif berkata dalam kejadian itu suspek telah melepaskan empat das tembakan masing-masing dua das di tangan kiri dan dua das di kaki kanan mangsa menggunakan senapang patah.
"Selepas menembak mangsa, suspek melarikan diri bersama pistol mangsa sebelum ditemui mati dipercayai menembak dirinya di bahagian kepala,” katanya.
Mayat suspek dan mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
Beliau berkata sebelum insiden berlaku, suspek dan mangsa telah keluar bersama untuk minum teh kira-kira pukul 11 malam dan kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau. - BERNAMA