Menu

OP SELAMAT: POLIS JOHOR WUJUD SISTEM KOMUNIKASI DENGAN 13 AGENSI

Johor Bahru, 11 Jun 2018 - Polis Johor mewujudkan sistem komunikasi dengan 13 agensi berkaitan bagi memastikan Op Selamat 13/2018 sempena Aidilfitri dapat dilaksana dengan lancar.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan pengurusan krisis dapat dilakukan dengan lebih berkesan berbanding operasi tahun sebelum ini.

"Jika dahulu, setiap agensi serta jabatan mempunyai gerak kerja sendiri tetapi menerusi konsep yang diperkenalkan ini, sebagai contoh, jika ada isu dan bila kita mahu selamatkan orang, kita mahu polis datang serentak dengan agensi lain seperti bomba dan lain-lain," katanya kepada pemberita pada pelancaran Op Selamat 13/2018 di Plaza Tol Skudai arah selatan di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, selain sistem komunikasi itu, pihaknya akan bekerjasama dengan ‘Brother Motor’ yang dahulunya dikenali sebagai ‘Mat Rempit’ bagi mendekatkan polis dengan masyarakat, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negeri ini.

"Kita buat program begitu dengan harapan apa jua maklumat yang mereka peroleh daripada kita akan disebarkan kepada rakan-rakan lain kerana motosikal merupakan penyumbang terbesar kepada kemalangan jalan raya," katanya.

“Op Selamat kali ini melibatkan seramai 430 pegawai dan anggota polis di Johor dan hanya 1,200 daripada 10,200 pegawai dan anggota polis negeri ini diberikan cuti sepenuhnya pada Aidilfitri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil berkata pihaknya menahan 1,465 individu yang terlibat dalam kegiatan judi dalam talian serta merampas 331 mesin komputer dan RM368,280 wang tunai dalam 1,351 serbuan di seluruh Johor sejak Januari hingga Sabtu lepas.

Beliau berkata, 89 kes daripadanya telah dituduh di mahkamah manakala selebihnya dalam tindakan dan siasatan pihak polis.

“Ekoran berleluasanya kegiatan judi dalam talian di seluruh negeri, semua elemen Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen dan daerah diarahkan mempertingkat tindakan terhadap pengusaha pusat perjudian yang dikenal pasti beroperasi.

“Kita juga memerlukan maklumat orang awam kerana tidak mempunyai teknologi untuk membanteras kegiatan ini. Ada kegiatan yang tidak beroperasi di premis kerana mereka menggunakan tablet. Kita harap orang awam dapat membantu polis,” katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS