Menu

PADAH LOLOSKAN DIRI DARI LOKAP

Tindakan dua penganggur meloloskan diri dari lokap balai polis dekat Iskandar Puteri menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret, Johor Bahru semalam.

Kedua-dua tertuduh, Nolmat Halil Abd. Jalil, 34, dan Muhammad Fir-daus Irwan, 25, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Johor Bahru, R. Salini.

Kedua-dua tertuduh diarah menjalani hukuman dari tarikh tangkap pada 11 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama dengan sengaja lari dari lokap Balai Polis Gelang Patah di Iskandar Puteri pada pukul 6.16 pagi, 11 Jun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS