KOTA BHARU - Perkahwinan antara peraih getah berusia 41 tahun dengan seorang kanak-kanak perempuan warga Thailand berusia 11 tahun yang menjadi viral sejak kelmarin tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, perkahwinan tersebut berlaku setelah mendapatkan kebenaran dan persetujuan daripada ibu bapa kanak-kanak tersebut.
"Pihak polis mendapati tiada pelanggaran jenayah seperti ugutan namun siasatan akan dijalankan mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002 kerana berkahwin dengan kanak-kanak tanpa kebenaran.
"Selain itu, kanak-kanak tersebut tidak menjadi mangsa pedofilia kerana lelaki terbabit dikatakan mahu membantu kehidupan kanak-kanak tersebut yang selama ini hidup susah sebelum mengambil keputusan berkahwin di Selatan Thailand pada 18 Jun lalu," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini hari ini.
Din berkata, siasatan dijalankan apabila isteri kedua lelaki tersebut yang berusia 34 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang semalam.
Jelasnya, lelaki tersebut hanya akan dipanggil polis untuk membantu siasatan sekiranya wujud unsur jenayah sahaja dan siasatan lanjut mengenai perkahwinan tersebut disiasat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
Bacaan lanjut di Kosmo.