Shah Alam, 12 Julai 2018 - Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian buli membabitkan tiga pelajar di sebuah sekolah menengah di Klang.
Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berkaitan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
"Berdasarkan laporan kita terima, kejadian berlaku ketika tiga pelajar sekolah berkenaan mengadakan latihan kawad dalam kawasan sekolah.
“Seorang pelajar tingkatan enam sekolah itu menampar muka seorang pelajar tingkatan empat ketika mereka mengadakan latihan kawad," katanya kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri antara ACP Nor Azman Muhammad Yusuf dan ACP Harjinder Kaur.
Video berdurasi 12 saat yang tular di Facebook hari ini, memaparkan seorang pelajar ditampar seorang pelajar lain sambil disaksikan seorang rakannya ketika mereka mengadakan latihan kawad di sebuah sekolah menengah di Klang.
Sumber : BERNAMA