Kuala Lumpur, 17 Julai 2018 - Polis mengesahkan telah mengenal pasti identiti mayat wanita yang dikerat enam dan ditemukan dalam dua beg pakaian di tepi Jambatan Jalan Ipoh di Sungai Gombak, di sini pada 5 Julai lalu ialah warganegara Bangladesh berusia 29 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis kini giat mengesan seorang lagi saksi untuk membantu siasatan kes.
"Saksi yang sedang dikesan ialah suami mangsa, Md. Shahzada Saju, 37, dan memiliki pasport bernombor BQ0096599.
"Kita percaya lelaki itu kini berada di Johor," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Bukit Jalil, di sini hari ini.
Tambahnya, mereka yang mempunyai maklumat lanjut boleh menyalurkan maklumat kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi, Deputi Superintenden Gunalan Muniandy (019-3114418) atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Faizal Abdullah di talian 012-4834439.
Sumber: Utusan Online