Menu

PDRM TERIMA 15 MITSUBISHI OUTLANDER DARIPADA PLUS

Subang Jaya , 19 Julai 2018 – Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hari ini berbesar hati menyumbang sebanyak 15 buah kenderaan jenis Mitsubishi Outlander 2.4L kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat dalam satu Majlis Penyerahan Kenderaan EMPV di Menara Korporat, Persada PLUS, di sini, pagi tadi.

Sumbangan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan pelbagai jenis yang diterima PDRM sehingga kini adalah sebanyak 161 buah bertujuan untuk mempertingkatkan lagi tahap kesiapsiagaan pihak polis terutamanya dalam menjaga keselamatan pengguna jalan raya sebagaimana yang dipertanggungjawabkan kepada PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT). 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun dalam ucapannya berkata, Lebuhraya Utara-Selatan yang dianggap sebagai tulang belakang sistem perhubungan di Malaysia berpontensi menjadi medan seribu satu bencana sekiranya para pengguna tidak mengamalkan sikap berhemah dan gagal mematuhi undang-undang jalan raya. 

Dalam pada itu, Tan Sri Mohamad Fuzi turut memberikan jaminan bahawa JSPT akan terus komited dalam memastikan keselamatan para pengguna jalan raya bukan sahaja daripada aspek ketahanan mental dan fizikal, malah turut mencakupi kemudahan aset bagi tujuan rondaan dan penguatkuasaan.

“Sumbangan yang diterima pada hari ini, jelas membuktikan bahawa pihak PLUS sentiasa peka terhadap keperluan berkaitan tugas PDRM dan ianya wajar diteladani oleh semua pihak dalam menyokong penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan pengguna jalan raya,” ujar beliau lagi. 

Turut hadir, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim, Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi, CP Dato’ Sri Arcyl Sani Haji Abdullah Sani, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail, Pengarah JSPT, SAC Sharul Othman Mansor, Ketua Polis Selangor, CP Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor, pegawai kanan polis serta rakan media.

25
Sekitar gimik pelancaran Majlis Penyerahan Kenderaan EMPV di Menara Korporat, Persada PLUS.

31
Sekitar Majlis Penyerahan Kenderaan EMPV di Menara Korporat, Persada PLUS.

34.5
Kenderaan Mitsubishi Outlander 2.4L.

29
Sekitar Majlis Penyerahan Kenderaan EMPV di Menara Korporat, Persada PLUS.

35
Sesi bergambar kenangan.


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS