Menu

KEKE CHALLENGE : POLIS NASIHAT JANGAN ABAI KESELAMATAN DIRI

Shah Alam, 24 Julai 2018 - Sejak kebelakangan ini, tular di media sosial mengenai 'Keke Challenge', sebuah tarian ringkas yang menampilkan lagu terbaru dari penyanyi antarabangsa, Drake berjudul In My feelings.

Netizen mula memuat naik klip video mereka menari di luar kenderaan atau tempat terbuka menggunakan lagu tersebut.

Bukan sahaja netizen, malah ramai selebriti turut memuat naik video tarian mereka.

Namun begitu, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md Isa menasihatkan supaya orang ramai tidak terlalu ghairah melakukan 'Keke Challenge' ini hingga mengabaikan keselamatan diri.

"Berwaspadalah dan jangan mudah leka sehinggakan keselamatan diri dilupakan.

“Trend itu memang trend, tapi usahlah sehingga membahayakan diri sendiri.

“Kalau dilihat, cabaran tarian ini di mana seseorang itu perlu turun dari kenderaan dengan kenderaan itu bergerak ke hadapan secara perlahan-lahan. Jika silap langkah, ia mungkin mengundang bahaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, berpada-padalah dan pastikan keselamatan diri tidak terdedah dengan perlakuan jenayah atau juga kecelakaan jalan raya.

"Bukan kata tidak boleh buat, tapi keselamatan itu perlu dijaga kerana jika diabaikan keselamatan ini, ia boleh mendatangkan impak yang tidak baik untuk diri," katanya.

'Keke Challenge' atau di sesetengah tempat lain dikenali sebagai #dotheshiggy mula diperkenalkan seorang pelawak popular di media sosial yang dikenali sebagai Shiggy.

Di Malaysia, trending itu turut disahut beberapa artis tempatan seperti Hafidz Roshdi, Bella Astillah, Siti Sarah Raisuddin dan Fasha Sandha.

Sumber : Astro Awani

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS