Menu

MAYAT RENTUNG DITEMUI, DIPERCAYAI DIBUNUH SEJAK DUA HARI LALU - POLIS

Manjung, 23 Ogos 2018 - Mayat yang ditemui dalam keadaan rentung dipercayai mangsa bunuh di kebun kelapa sawit di Kampung Baru, Sitiawan, semalam dipercayai sudah mati sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, bagaimanapun mayat mangsa dipercayai baru dibakar berdasarkan masih terasa bahang pada mayat berkenaan.

Katanya, bagaimanapun sehingga kini identiti mayat terbabit masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaannya yang terbakar keseluruhan.

"Keadaan mayat masih lagi baru dibakar berdasarkan masih terasa bahang pada mayat dan hangus terbakar hampir 85 peratus dengan bahagian dada sehingga kaki rentung keseluruhan.

"Hasil pemeriksaan dipercayai mangsa sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu berikutan polis menemui sehelai tuala yang dipenuhi dengan darah dan sudah berulat," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Katanya, mangsa dipercayai sudah mati di tempat lain dan dibakar di tempat kejadian.

Beliau berkata, turut ditemui beberapa cebisan kain langsir dan juga beberapa kain, namun tiada sebarang botol petrol atau bahan bakar lain yang dijumpai di sekitar lokasi penemuan mayat.

Katanya, polis turut menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk membantu mengesan jejak dan mencari bukti lain di lokasi kejadian.

Muhammad Hanif berkata, jarak lokasi kejadian dengan jalan besar kira-kira 500 meter dan kawasan itu juga dikelilingi dengan pokok sawit.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat pada Khamis ini.

Semalam, seorang pemilik kebun sawit menemui mayat dalam keadaan rentung di kebun kelapa sawit miliknya, kira-kira 9 pagi sebelum melaporkan penemuan itu kepada polis.

Pemilik kebun berkenaan Wong Keng Suew, 48, berkata, sebaik tiba di kebunnya untuk mengutip buah, dia terkejut melihat mayat itu sebelum berlari keluar untuk meminta bantuan.

“Saya lihat mayat itu sudah terbakar dan ada sedikit asap pada bahagian kepala mangsa yang membuatkan saya terkejut dan takut sebelum ke BalaiPolis Seri Manjung melaporkan perkara itu,” katanya.

Sumber : Harian Metro

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS