Kuantan, 1 Oktober 2018 - Polis menyasarkan 3,000 penyertaan dalam program Fun Run & Ride 2018 yang akan dilaksanakan di Ibu Pejabat PolisDaerah Temerloh, 13 Oktober ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, bagi tempoh tersebut penyertaan masih dibuka sehingga 7 Oktober kepada orang ramai termasuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, dengan jumlah itu bukan sahaja akan memberi impak dan menyemarakkan ekonomi penduduk Temerloh bahkan memberi kesan terhadap hubungan polis dan masyarakat.
"Kita mahu memperbanyakkan penyertaan. Penyertaan ini nanti akan beri kesan baik terhadap penduduk, polis dan kerajaan.
"Seiring dengan tagline, Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada, maka program ini akan membantu kita memerangi jenayah," katanya pada sidang media pra pelancaran program tersebut di Casa Rasa Kempadang di sini, semalam.
Beliau berkata, aktiviti berbasikal dipilih kerana ia sememangnya sukan yang mempunyai kebaikan tersendiri.
Menurutnya, laluan Fun Ride sepanjang 30 kilometer manakala Fun Run 5 kilometer melibatkan kawasan kampung dan diyakini mampu menarik perhatian peserta yang datang seluruh negara, sekaligus merancakkan acara Revisit Pahang 2018.
Dalam pada itu beliau mengesyorkan program anjuran Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang (JPJKK) itu turut dijadikan aktiviti bulanan IPD seluruh Pahang kerana dapat membina hubungan berpasukan.
"Kita akan pergi ke laluan tertentu. Bila singgah ke sesuatu lokasi dapat beramah mesra dengan masyarakat setempat. Dengan itu maklumat jenayah boleh disampaikan oleh orang kampung secara terus dan seterusnya membina jalinan dengan penduduk," katanya.
Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan program sukan dan riadah yang dijalankan PDRM Pahang sejak dua tahun lepas membawa kepada penurunan obesiti kalangan polis kontinjen Pahang.
"Hanya sekitar 10 peratus warga kontinjen obesiti tahun ini berbanding 30 peratus sebelum ini. Jumlah warga PDRM termasuk pegawai am di negeri ini adalah hampir 5,000 orang.
"Kadar kematian yang melibatkan obesiti, penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung dalam kalangan polis juga telah menurun seperti mana laporan Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kontinjen Pahang.
"Untuk memastikan penurunan itu konsisten kita akan anjurkan program timbang, sekali sebulan. Sesiapa yang catat penurunan akan mendapat hadiah bermula November depan," katanya.
Sumber: Polis Pahang dan Sinar Harian