
Melaka, 15 Oktober 2018 - Dua rakan yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah bernilai RM234,980 tumpas selepas polis menyerbu sebuah apartmen di Melaka Tengah di sini, kelmarin.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kira-kira pukul 4.30 pagi dengan menahan dua rakan terbabit iaitu seorang wanita berumur 38 tahun dan lelaki berumur lingkungan 40-an.
Ketua Polis Negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, kedua-dua suspek ditahan di tingkat tiga tempat meletak kenderaan apartmen berkenaan.
Menurut beliau, pemeriksaan terhadap wanita berkenaan menemukan dadah jenis syabu dalam beg tangan suspek dan kedua-dua individu terbabit membawa pasukan polis ke apartmen yang disewa mereka itu.
"Polis menemukan bahan-bahan yang dipercayai dadah dengan merampas 8,800 biji dadah pil ekstasi, erimin 5 (1,200 biji), syabu (210.20 gram), heroin (115 gram) dan ketamin (4,530 gram).
"Kita juga menyita semua yang dimiliki oleh kedua-dua suspek dalam apartmen berkenaan termasuk wang tunai. Selain itu, dua kenderaan turut disita iaitu kereta Toyota Estima dan Toyota Hilux," katanya dalam sidang akhbar berhubung kejayaan pasukan tersebut di IPK di sini hari ini.
Menurut Raja Shahrom, wanita terbabit merupakan seorang janda berasal dari Gambang, Pahang manakala rakannya berstatus duda berasal dari Senggarang, Johor.
Kedua-dua individu terbabit direman selama tujuh hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
RAJA SHAHROM RAJA ABDULLAH (dua dari kiri) dan pegawai penyiasat menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas daipada dua rakan semasa sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka Tengah di Bukit Beruang. semalam..