Kuala Lumpur, 5 November 2018 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang merancang membina lapan pondok bit polis di beberapa lokasi tumpuan pelancong sekitar Kuala Lumpur dalam usaha memaksimumkan keselamatan pelancong.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata ia masih di peringkat perbincangan dengan kerjasama persatuan pelancong dan pondok bit polis berkenaan dijangka beroperasi tahun hadapan.
"Kita telah mengenal pasti lokasi-lokasi panas antaranya Dataran Merdeka, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Tugu Negara dan Bukit Bintang.
"Ia bertujuan mengurangkan kadar jenayah seperti seluk saku dan ragut terhadap orang ramai khususnya pelancong," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Terminal Bersepadu Selatan di sini hari ini.
Mazlan berkata pondok bit polis itu akan beroperasi dengan penempatan seorang atau dua anggota pada waktu siang.
"Mereka juga akan melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan sekitar, jadi orang ramai boleh menghubungi nombor telefon anggota bertugas yang terdapat pada pondok berkenaan sekiranya anggota tiada di pondok untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah," katanya.
Mengulas mengenai cuti perayaan Deepavali, Mazlan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada bagi mengelak mereka menjadi mangsa jenayah.
"Masyarakat juga boleh membantu polis dengan menyalurkan maklumat berhubung kejadian jenayah menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP)," katanya.
Beliau berkata seluruh anggota dan pegawai kontinjen Kuala Lumpur juga dikerahkan untuk bersedia 24 jam sempena musim perayaan Deepavali. - BERNAMA