Menu

4 DEKAD MENABUR BAKTI, SELAMAT BERSARA DATO’ S. SATHIYA SEELAN

Subang Jaya, 27 Disember 2018 – Setelah 40 tahun menabur bakti dalam dunia kepolisan, Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), DCP Dato’ S. Sathiya Seelan akhirnya akan bersara wajib pada 28 Disember ini sekaligus menyerahkan tugas kepada Komander PGU Pangkalan Semenanjung, ACP Nasarudin Abdul Mubin yang akan memangku jawatan tersebut dalam Majlis Serah Terima Tugas di PGU PDRM Pangkalan Semenanjung, dekat sini, pagi tadi.

Majlis tersebut disaksikan oleh Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Zainal Abidin Kasim yang mewakili Pengarah Jabatan KNDKA, CP Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani.

Dalam ucapatamanya, Dato’ S. Sathiya menzahirkan rasa terharu diberi peluang membina kerjaya di dalam pasukan yang menjadi darah daging beliau selama ini sehingga memperoleh Lesen Pemandu Perkhidmatan Kapal Terbang Pengangkutan (Pesawat Terbang).

“Sepanjang perkhidmatan, saya telah diberi peluang menghadiri sebanyak 70 kursus di dalam dan di luar negara yang menjadikan saya seorang yang berkebolehan tinggi samada dalam bidang kemahiran serta kepimpinan disamping membentuk disiplin diri sebagai seorang pegawai polis,” ujar beliau.

Antara sejarah terpahat dalam pasukan ialah beliau merupakan juruterbang yang bertanggungjawab menerbangkan King Air (KA350) dari Wichita, Kansas, Amerika Syarikat ke tanah air pada Oktober 2013.

Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) PGU di antara Datin Pauline Arthur kepada Puan Norhainah Anuar dengan disaksikan oleh Naib Pengerusi 1 PERKEP Jabatan KDNKA, Datin Hajah Roseleena Mohamed Nor.

Terdahulu, majlis pagi tadi dimulai dengan Perbarisan Khas sebagai tanda penghormatan kepada Dato’ S. Sathiya sepanjang beliau berkhidmat dalam pasukan.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Komander-komander PGU, pegawai-pegawai kanan PDRM, ahli-ahli PERKEP dan rakan-rakan media.

1
DCP Dato’ S. Sathiya Seelan menyerahkan dokumen serta tugas Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) kepada ACP Nasarudin Abdul Mubin.

2.4
Warga Pasukan Gerakan Udara (PGU) bergambar kenangan bersama DCP Dato’ S. Sathiya Seelan.

2.5
Warga Pasukan Gerakan Udara (PGU) bergambar kenangan bersama DCP Dato’ S. Sathiya Seelan.

3.1
DCP Dato’ S. Sathiya Seelan memeriksa baris kawalan kehormatan Perbarisan Khas Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU).

61
Bergambar kenangan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS