Bidor, 3 September 2019 – Sebagai salah satu agensi penguatkuasa yang bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam melindungi khazanah (hidupan flora dan fauna) negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menambahkan kekuatan anggota dan asetnya menerusi Operasi Bersepadu Khazanah.
“Bantuan sumber manusia dan logistik telah diatur dengan melibatkan kepakaran dari elemen Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) iaitu Pasukan Senoi Praaq dari Batalion 3 dan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mahir serta mampu mengesan dan menjejak pemburu dan penyeludup haram di hutan,” ucap Ketua Polis Negara, IG Dato’ Seri Abdul Hamid Bador dalam Majlis Pelancaran Operasi Bersepadu Khazanah di Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini, pagi tadi.
Tambah beliau, PDRM turut mengatur gerak aset dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) seperti helikopter dan dron untuk rondaan pengawasan dari udara selain penggunaan bot-bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) bagi tugas di perairan.
Jelas beliau lagi, pendekatan operasi secara "show of force" mempamerkan kehadiran pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasa di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang melalui rondaan bersama, pemeriksaan, penggeledahan dan tangkapan terhadap pesalah dalam membanteras aktiviti pencerobohan dan penyeludupan khazanah negara.
Dato’ Seri Abdul Hamid turut menjelaskan, tugas melindungi hidupan liar dan khazanah alam semula jadi ini memerlukan kerjasama dari agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat, komuniti tempatan dan masyarakat Malaysia bagi memastikan khazanah negara akan terus terpelihara.
“Sebarang maklumat atau aduan untuk menangani jenayah berhubung dengan khazanah negara boleh disalurkan melalui sistem terkini yang diwujudkan oleh PDRM iaituVolunteer Smartphone Patrol (VSP),” terang beliau.
Majlis pelancaran tadi turut dihadiri oleh Ketua Pengarah PERHILITAN, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim, Pengarah Jabatan KDNKA, CP Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani, barisan pegawai kanan PDRM dan PERHILITAN serta rakan media.

Gandingan mantap PDRM dan PERHILITAN dalam Operasi Bersepadu Khazanah.

Antara aksi tarian perang Senoi Praaq yang dipersembahkan oleh Batalion 3, PGA.

Ketua Polis Negara, IG Dato’ Seri Abdul Hamid Bador bersama Ketua Pengarah PERHILITAN, Dato’ Abdul Kadir Abu Hashim semasa Pelancaran Operasi Bersepadu Khazanah.

Panji-Panji Batalion 3, PGA dan Kawalan Kehormatan semasa Pelancaran Operasi Bersepadu Khazanah.

Ketua Polis Negara, IG Dato’ Seri Abdul Hamid Bador memeriksa Kawalan Kehormatan.