Menu

KES AMUK: TINDAKAN TEGAS TERHADAP PENYEBAR BERITA PALSU

Kuala Lumpur, 25 September 2019 - Polis memberi amaran akan menahan dan mendakwa mereka yang mengaitkan sesuatu kes jenayah dengan sentimen perkauman dan agama menerusi sebaran media sosial.

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata ia berikutan kes amuk seorang lelaki yang menetak dua rakan sekerjanya sehingga seorang daripada mereka maut di sebuah kilang di Bayan Baru, Pulau Pinang, kelmarin yang kononnya bermotifkan sentimen perkauman dan agama.

Beliau berkata polis menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memuat naik artikel berbaur hasutan yang boleh mencetuskan perasaan sakit hati dan salah faham sekiranya tidak dibendung.

Beliau berkata, pada masa ini Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, telah mengenal pasti individu terbabit dan akan mengambil tindakan tegas.

“Keadaan ini sekiranya tidak dikawal, dikhuatiri boleh mencetuskan pergaduhan fizikal dan tiada lagi amaran akan dikeluarkan melainkan tindakan menangkap dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

“Daripada siasatan awal, suspek didapati terpengaruh dengan video keganasan di negara Asia Barat, mengenai kekejaman ke atas orang Islam yang dilihat menerusi media sosial namun tidak mempunyai kaitan dengan negara ini.

“Kita perlu berhati-hati dan mengelak daripada membuat tanggapan sendiri kerana dengan hanya menonton video keganasan boleh mempengaruhi diri kita mengenai isu agama dan kaum di negara ini,” katanya.

Tan Sri Abdul Hamid berkata, orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan sebarang maklumat palsu menerusi media sosial serta tidak membuat kesimpulan sendiri terhadap kes itu.

Beliau berkata mereka yang membuat komen ke atas kiriman media sosial berkaitan kes itu juga akan dikenakan tindakan yang tegas.

Sumber : Berita Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS