Ipoh, 23 Oktober 2019 - Meskipun tidak disajikan dengan simulasi peperangan hutan yang mendebarkan seperti tahun-tahun sebelum ini, sambutan Jubli Emas 69 Komando, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap berlangsung meriah dan penuh bersejarah, pagi tadi.
Ianya merupakan sambutan hari ulang tahun yang pertama disambut oleh warga 69 Komando bersama barisan pucuk pimpinan baharu PDRM sejak Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Abdul Hamid Bador mengambil alih tampuk Pasukan, 3 Mei lalu.
Majlis yang diadakan di Padang Kawad, Pusat Latihan Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta itu disempurnakan oleh Tan Sri Abdul Hamid dengan diiringi Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani.
Lebih bersejarah dan mengusik perasaan, unit elit yang terkenal dengan moto 'Warisan Darah Perwira' tersebut turut menampilkan tiga waris comel kepada wira negara yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu, Sabah, Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dalam perbarisan kali ini.
Adik Noor Akmar Amiruddin Zulkifli, Noor Mohd Aqil Zulkifli dan Noor Aqib Syahid Zulkifli yang segak berpakaian celoreng operasi 69 Komando diberi penghargaan membawa beg berisi 'sand berret' untuk dipakaikan kepada Tan Sri Abdul Hamid.
Terpapar wajah gembira dan bangga di wajah ketiga-tiga kanak-kanak itu apabila berpeluang mewakili arwah bapa mereka yang akan sentiasa dikenang perjuangan dan pergorbanan beliau buat negara.
Selain menerima beret kebanggaan warga 69 Komando itu, Tan Sri Abdul Hamid turut dianugerahkan lencana sayap penerjunan kehormat oleh Komander 69 Komando, SAC Tuan Abdul Razak Mohd Yusof.
“Penganugerahan beret dan sayap kehormat 69 Komando ini membawa makna yang amat besar buat saya dan penghormatan tertinggi daripada sebuah pasukan elit yang amat saya sanjungi,” ucap Tan Sri Abdul Hamid dalam sambutan tersebut.
Terdahulu, sambutan tersebut dimulakan sengan satu istiadat perbarisan tradisi dengan melibatkan kesemua unit dalam 69 Komando.
Suasana pilu mula menyelubungi para hadirin apabila persembahan sajak mengisahkan pengorbanan wira-wira 69 Komando disampaikan oleh Sarjan Mejar Suhaimi Harun dan Sarjan Sallehuddin Abu Bakar. Ianya turut mengusik hati Tan Sri Abdul Hamid yang kelihatan sebak sepanjang persembahan itu berlangsung.
Seramai 36 pegawai dan 504 anggota lain-lain pangkat yang mengambil bahagian dalam perbarisan tersebut dengan diketuai Pegawai Pemerintah Baris, Inspektor Firdaus Marusie.
Dalam perbarisan tersebut, Tan Sri Abdul Hamid telah menerima 'Hormat Panglima' dan memeriksa perbarisan sebelum menyampaikan ucapan serta amanatnya sempena sambutan tersebut.
Sambutan tahun ini turut diserikan dengan acara persembahan pentomen evolusi 69 Komando yang kini akan lebih dikenali sebagai sebuah unit elit PDRM yang 'Versatile Accurate Transcendent' (VAT69).
Turut hadir Ketua Polis Perak, CP Dato' Razarudin Husain Abd Rasid, Timbalan Pengarah KDNKA (Pasukan Gerakan Am), DCP Dato' Mastor Mohd Ariff, Yang Dipertua Persatuan Veteran 69 Komando, CP (B) Dato' Abd Rashid Harun, ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) KDNKA, para veteran 69 Komando serta rakan-rakan media.

Sekitar demontrasi dan pentomim oleh Troopers 69 Komando PDRM di Padang Kawad, Pusat Latihan Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta.

Sekitar demontrasi dan pentomim oleh Troopers 69 Komando PDRM di Padang Kawad, Pusat Latihan Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta.

Sekitar demontrasi kepakaran menembak oleh anggota 69 Komando PDRM iaitu Sarjan Hazwan Wahab dan Sarjan Petrus Anai.

Sekitar pertunjukkan seni mempertahankan diri dari Troopers 69 Komando.

Bergambar kenangan bersama Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Abdul Hamid Bador.