Kuala Lumpur, 22 November 2019 - Seekor anjing pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernama Urby menerima pingat atas kejayaannya bersama pengendali, Koperal Umbat Anak Selan dari Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA menyelesaikan satu kes jenayah di Banting, Selangor, Oktober lalu.
Kepintaran anjing berusia 12 tahun dari baka Jerman Shepard itu terserlah apabila ia berjaya menemukan mayat seorang warga Bangladesh di sebuah kawasan semak-samun selepas dia dilaporkan hilang beberapa hari sebelum itu.
Penyampaian surat penghargaan dan pingat kepada Koperal Umbat dan Urby telah berlangsung dalam Majlis Perasmian Penutupan Kursus Asas Pemegang K9 Siri 1/2019 anjuran Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Kursus yang bermula dari 12 Ogos hingga 23 November 2019 tersebut melibatkan 43 anggota JSJ dari 21 seksyen K9 seluruh negara dalam mempersiapkan mereka dengan ilmu pengetahuan asas pengendalian anjing, khususnya melibatkan tugas kepolisan di samping memupuk nilai-nilai peribadi yang baik sebagai pengendali K9.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ, DCP Datuk Salehhudin Abd Rahman ketika berucap mewakili Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador menzahirkan rasa bangga atas kejayaan semua peserta yang berjaya menamatkan kursus tersebut.
“Kejayaan para peserta menamatkan kursus ini dengan cemerlang, jelas membuktikan bahawa tiada perkara yang mustahil untuk dikecapi, sekiranya dilakukan dengan kesungguhan dan kesabaran yang tinggi,”ujar beliau.
Tambah beliau lagi, K9 telah memainkan peranan penting sebagai elemen bantuan dalam tugasan serta operasi jabatan-jabatan PDRM, malah menjadi penyumbang kepada penyelesaian kes-kes jenayah berprofil tinggi sejak ditubuhkan pada 1968.
Turut hadir Komandan PULAPOL KL, SAC Dato’ Shamsudin Mat, Barisan Timbalan Pengarah JSJ, Ketua-ketua penolong Pengarah JSJ dan Pegawai-pegawai kanan PDRM.

Koperal Umbat mengalungkan pingat kepada K9 kendaliannya yang bernama Urby.

Sekitar gimik persembahan rompakan kedai emas dari peserta Kursus Asas Pemegang K9 Siri 1/2019 di Dataran Kawad, PULAPOL.