Kuching, 3 Disember 2019 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memeriksa dan mengaudit secara berperingkat 256 agensi atau syarikat yang mempunyai lesen penubuhan polis bantuan berikutan 31,471 jawatan itu belum diisi.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, CP Dato' Sri Rosli Ab Rahman, berkata pihaknya mahu agensi yang terbabit memberi alasan munasabah berkenaan kekosongan yang terlalu banyak.
“Tindakan pembatalan lesen mungkin dilakukan jika alasan tidak munasabah diberikan. Saya faham dengan keadaan semasa tetapi sebelum memohon lesen atau permit penubuhan polis bantuan, pihak agensi atau syarikat perlu melihat kekuatan yang diperlukan.
“Pihak kami juga dapati ada agensi atau syarikat langsung tidak membuat pengisian terhadap perjawatan itu,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Mesyuarat dan persidangan Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA) yang ke-31 di sini, hari ini.
Beliau berkata, kekosongan itu perlu diisi dengan segera kerana hanya 29,793 daripada 61,264 perjawatan itu atau 49 peratus sudah diisi.
“Polis bantuan banyak membantu polis dalam menangani jenayah di kawasan operasi yang dibenarkan untuk mereka, maka, perjawatan itu perlu diisi untuk meningkatkan tahap keupayaan polis bantuan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata agensi atau syarikat yang mendapat lesen penubuhan polis bantuan tetapi belum berdaftar sebagai ahli MAPA, akan diberikan surat peringatan.
“MAPA adalah suara dan perantara kepada agensi atau syarikat. Segala permasalahan berkenaan polis bantuan boleh disalurkan kepada MAPA sebelum ia dijelaskan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Justeru, saya berharap MAPA akan terus membuat seminar atau bengkel bagi memperkasakan polis bantuan,” katanya.
Sumber: Polis Sarawak dan Berita Harian Online








