Kuala Lumpur, 7 Januari 2020 – Sebagai meraikan prestasi cemerlang para atlet Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sukan Asia Tenggara (SEA) 2019 di Manila, Filipina akhir tahun lalu, satu majlis khas telah diadakan di Mess Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, semalam.
Majlis yang telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Seri Abdul Hamid Bador itu bersempena kejayaan para atlet PDRM membawa pulang 12 pingat (lima emas, tiga perak dan empat gangsa) dalam tujuh daripada 10 acara sukan yang disertai pada temasya tersebut.
Tan Sri Abdul Hamid dalam ucapannya melahirkan rasa bangga atas pencapaian para atlet PDRM dalam mengharumkan nama Pasukan.
Jelas beliau, biarpun pungutan pingat tidak berjaya menyamai pencapaian dalam Sukan SEA 2017, semangat dan usaha para atlet bagi memburu kejayaan, demi mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa wajar diberi penghargaan.
“Sebagai tanda pengiktirafan, saya memutuskan agar mereka yang berjaya meraih pingat dalam temasya sukan berprestij akan datang, berpeluang dipertimbangkan untuk Kenaikan Pangkat Secara Medan," jelas beliau.
Kemuncak program, Majlis Sukan PDRM di bawah Tabung Kebajikan Sukan dan Sosial (TKSS) turut memberikan insentif serta Sijil Penghargaan KPN kepada para atlet yang terlibat.
Beliau berharap agar insentif dan penghargaan berkenaan akan lebih menaikkan semangat dan moral para atlet PDRM untuk terus berjuang dan berjaya lagi di masa akan datang.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor, Pengarah Pengurusan, CP Dato' Abd Rahim Jaafar merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM, Chef de Mission Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin merangkap Ketua Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia, pengarah-pengarah PDRM dan para pegawai kanan PDRM serta pengurus-pengurus pasukan.

Bergambar kenangan bersama atlet PDRM Sukan SEA 2019.

Insp Farah Ayuni Yahya, penyumbang pingat emas bagi Sukan Hoki

L/Kpl/S Mohd Taqiyuddin Hamid, pemenang pingat emas Sukan Silat, Acara Ganda Putra.

Ketibaan Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Sri Abdul Hamid Bador disambut oleh Pengarah Pengurusan, CP Dato' Abd Rahim Jaafar merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM.

Nyanyian lagu Negaraku.

Sekitar majlis meraikan atlet PDRM Sukan SEA 2019.

Antara penerima Surat Penghargaan Khas Ketua Polis Negara

Antara pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2019.

Antara pemenang pingat perak Sukan SEA 2019.