Menu

ARTIKEL PILIHAN: ANGGOTA POLIS CEDERA BANTU JIRAN TANGKAP PENCEROBOH DINIHARI

Kuching, 8 Januari 2020 - Seorang anggota polis cedera di kepala dan tangannya ketika membantu jirannya menangkap penceroboh di Taman Dahlia di Jalan Depo, Petra Jaya sekitar jam 5.05 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, pemilik rumah berusia 48 tahun itu terdahulunya dimaklumkan oleh jirannya bahawa rumahnya yang dijadikan rumah sewa telah diceroboh masuk.

Rentetan itu, beliau kemudian terus ke rumah tersebut dan turut menghubungi jirannya yang juga merupakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Suspek disyaki masih berada di dalam rumah kerana barang-barang yang cuba dicurinya ada dikumpulkan di hadapan rumah berkenaan.

"Pemilik rumah bersama anggota PGA terbabit serta dua lagi saudara dan jiran mereka kemudian masuk ke dalam rumah dan mendapati suspek bersembunyi di dalam bilik stor.

"Menyedari kehadiran mereka, suspek yang bersenjatakan tukul serta objek tajam kemudian meluru keluar lalu bertindak agresif sehingga menyebabkan anggota PGA terbabit cedera di kepala dan tangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, suspek berusia 33 tahun itu bagaimanapun berjaya ditangkap.

"Suspek berjaya ditangkap serta beberapa peralatan pecah rumah turut dirampas daripada suspek dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," kata beliau.

Mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 448/324 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Sumber: Utusan Borneo

https://www.utusanborneo.com.my/…/anggota-polis-cedera-bant…

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS