Menu

#LegasiPejuangSeragamBiru SM ABD. AZIZ SARIKON

Sarjan Mejar (SM) Abd. Aziz Sarikon dilahirkan pada 22 Mei 1965 di Batu Pahat, Johor. Beliau mula berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 7 Januari 1990 sebagai Konstabel dan menjalani latihan asas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam, Jempol, Negeri Sembilan.

Sejurus tamat menjalani latihan, SM Abd. Aziz telah ditempatkan di Pasukan Polis Hutan (PPH) Semporna, Sabah dan tugas terakhir beliau ialah bersama Platun 4 Kompeni B, Batalion 14, Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Sabah.

Tanggal 2 Mac 2013, SM Abd. Aziz yang pada ketika itu berpangkat Sarjan telah menyertai satu operasi khas yang diketuai oleh Allahyarham ACP Ibrahim Lebar bagi mengesan dan menangkap anggota penceroboh Tentera Diraja Kesultanan Sulu atau lebih dikenali sebagai Royal Sulu Force (RSF) di Kampung Simunul, Semporna, Sabah.

SM Abd. Aziz berperanan sebagai pengiring kepada Allahyarham ACP Ibrahim dan turut membawa beberapa peralatan khas untuk mengesan kedudukan penceroboh berkenaan.

Ketika proses pemeriksaan dilakukan, SM Abd. Aziz dan rakan sepasukan telah diserang hendap dengan senjata api dan parang Barong oleh penceroboh RSF yang bersembunyi dalam beberapa rumah penduduk di kampung air berkenaan. Malangnya, beliau terkorban akibat terkena tembakan rambang penceroboh yang datang dari pelbagai arah.

Bagi menghargai jasa dan sifat keperwiraan Allahyarham SM Abd. Aziz kepada negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke XIV Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mengurniakan anugerah Darjah Kebesaran dan Bintang Kehormat Panglima Gagah Berani kepada beliau pada 2 Disember 2014.

Allahyarham SM Abd. Aziz turut dinaikkan pangkat secara medan (field promotion) daripada Sarjan kepada SM pada Sambutan Hari Polis ke-206.

#PolisDirajaMalaysia
#RoyalMalaysiaPolice
#PDRM
#RMP
#LegasiPejuangSeragamBiru

Image may contain: 1 person, text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS