Mengambil kira situasi semasa, KKM terus mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan wabak jangkitan penyakit Novel Coronavirus.
Kes-kes yang disyaki akan diperiksa dan dirujuk ke hospital untuk pengambilan sampel serta pemantauan perkembangan gejala kes.
Kes-kes ini dipantau sehingga tamat tempoh inkubasi virus ini iaitu sekurang-kurang 14 hari dari tarikh pendedahan atau berlepas dari negara China. Ia selari dengan Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Prosedur ini dilakukan bagi memastikan pencegahan penularan serta kawalan optima penyakit ini dapat dilaksanakan. Mana-mana orang yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai diberi kuasa, sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 24(a) Akta yang sama.
KKM telah bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi membantu mengesan kes-kes yang disyaki serta kes yang disahkan bagi tindakan isolasi dapat disempurnakan, demi menjaga ketenteraman dan kesihatan awam.
Dalam kejadian awal pagi 26 Januari 2020, pihak polis telah membantu pihak KKM mengesan seorang kanak-kanak yang telah dibawa keluar oleh keluarganya dari sebuah hospital di Johor tanpa kebenaran pihak hospital.
Kanak-kanak tersebut disyaki dijangkiti penyakit 2019-nCoV dan sedang dirawat di hospital terbabit. Kes telah berjaya dibawa kembali ke hospital berkenaan dan kini berada dalam keadaan stabil dan masih menunggu keputusan makmal. KKM mengucapkan tahniah dan terima kasih atas kerjasama pihak polis ini.
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan
Sumber: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA