Menu

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA PROGRAM JOM KE SEKOLAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2020


PERUTUSAN SEMPENA PROGRAM JOM KE SEKOLAH
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2020

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan inayah-Nya jua, program “Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan” dapat direalisasikan lagi pada tahun ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat menghargai dan berbesar hati, kerana diberikan kepercayaan untuk terus berkolaboratif dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bagi menangani permasalahan disiplin, serta salah laku murid, melalui peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS). Inisiatif yang dilaksanakan sejak tahun 1974 ini, sentiasa ditambah baik mengikut keadaan dan keperluan semasa, serta amat relevan dan signifikan, dalam proses pembentukan sahsiah serta jati diri insan di peringkat awal persekolahan lagi.

PDRM amat prihatin tentang permasalahan sosial dan salah laku jenayah dalam kalangan generasi muda, khususnya murid-murid sekolah. Dalam hal ini, kerjasama yang tersusun dan bersistematik di antara pihak sekolah, ibu bapa dan PDRM, dilihat mampu membendung isu salah laku sosial, dadah dan perlakuan jenayah daripada terus menular.

PPS yang dilantik bagi setiap sekolah, perlu mewujudkan suasana sekolah yang aman dan selamat dengan membuat rondaan, lawatan, ceramah atau sesi dialog, berkaitan hal-hal keselamatan kepada warga sekolah. PPS juga hendaklah sentiasa bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan
Guru, serta memberikan khidmat nasihat kepada pihak sekolah, berhubung dengan tindakan yang wajar diambil, sekiranya berlaku sebarang kejadian jenayah melibatkan para pelajar.

Selain itu, PPS turut bertanggungjawab untuk memberikan pendedahan dan kesedaran tentang undang-undang kepada guru-guru, murid-murid dan ibu bapa. Mekanisme ini diyakini dapat melahirkan komuniti sekolah yang celik undang-undang, dan mempunyai pengetahuan tentang langkahlangkah
pencegahan jenayah, bagi mengekang kes-kes salah laku dalam kalangan pelajar. Malah, melengkapkan diri dengan pengetahuan victimology juga, akan memudahkan PPS untuk berkongsi pengetahuan dengan para guru, murid-murid dan ibu bapa, mengenai cara-cara membantu mangsa yang mengalami trauma atau “psychological impact” akibat sesuatu perlakuan jenayah.

Dalam mendepani ancaman jenayah siber yang menggunakan pelbagai modus operandi seperti "love scam", "black money", "macau scam", penipuan e-kewangan dan pewarisan harta, PPS perlulah memberikan pendedahan dan menyuntik kesedaran kepada komuniti, termasuk para pelajar, agar tidak mudah terjebak atau menjadi mangsa jenayah tersebut.

Selain itu, kita juga perlu mengekang penularan ideologi atau dakyah ajaran sesat, radikalisme, ekstremisme dan terrorism dari menyerap masuk ke dalam sekolah. Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan murid-murid tidak dimanipulasi oleh golongan-golongan tertentu dalam memperjuangkan agenda subversif mereka.

Dalam masa yang sama, saya berharap agar komuniti sekolah dan pihak yang berkaitan, dapat bekerjasama untuk terus membimbing generasi muda, agar mereka tidak mudah terpesong, dan sebaliknya menjadi modal insan yang cemerlang dan disanjung tinggi.

Saya difahamkan, bahawa KPM, PDRM dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, telah menerbitkan Buku Panduan Pegawai Perhubungan Sekolah (BPPPS) sebagai garis panduan kepada PPS, dan semua pihak yang berkaitan dalam melaksana program atau aktiviti yang telah ditetapkan. Buku ini akan dilancarkan semasa sambutan Program Jom Ke Sekolah Peringkat Kebangsaan Tahun 2020, yang akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sulaiman, Bentong, Pahang, pada 17 Februari 2020.

Adalah diharapkan BPPPS dapat memberi pemahaman dan pengetahuan yang komprehensif kepada PPS serta seluruh warga sekolah, agar dapat bertindak secara holistik dalam menangani masalah disiplin dan salah laku jenayah dalam kalangan pelajar. Kepada semua ahli jawatankuasa kerja
yang telah berpadu usaha dan tenaga, dalam menerbitkan BPPPS, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah.

Akhir kalam, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada KPM, para pengetua, guru-guru, ibu bapa dan PPS serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada setiap program atau aktiviti yang dijalankan oleh PDRM. Ibarat terendam sama basah, terampai sama kering, diharapkan kerjasama dan kesepakatan yang wujud antara KPM, ibu bapa dengan PDRM, akan terus dierat kukuhkan lagi, demi memastikan usaha yang kita lakukan selama ini tidak sia-sia. Insya-Allah.

Sekian, terima kasih.

(TAN SRI DATO’ SERI ABDUL HAMID BIN BADOR) IG
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS