Menu

#InfoPeristiwa: GENAP 70 TAHUN PERISTIWA SERANGAN PKM KE ATAS BALAI POLIS BUKIT KEPONG

Tanggal 23 Februari 1950 - Genap 70 tahun peristiwa serangan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap Balai Polis Bukit Kepong berlaku, namun ia tidak pernah luput dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia.

Pihak PKM telah merancang untuk menyerang balai berkenaan kerana kedudukannya yang agak pedalaman, iaitu sejauh 10 kilometer dari Lenga, sebuah pekan kecil dalam daerah Muar, Johor.

Atas faktor tersebut juga, pihak pengganas sangat yakin bahawa mereka mampu menewaskan kekuatan anggota balai yang kecil dengan mudah, selain ingin membalas dendam ekoran kekalahan dengan pasukan keselamatan di Pekan Labis.

Dalam kejadian awal pagi itu, seramai 180 anggota PKM telah mengepung sekeliling kawasan balai dan melakukan serangan secara gerila terhadap anggota polis yang bertugas di situ.

Lebih kejam lagi, pengganas PKM turut membunuh kaum wanita dan anak-anak tanpa sedikitpun rasa simpati.

Meskipun telah berjuang habis-habisan bagi mematah serangan musuh dan mempertahankan balai serta keluarga, namun akhirnya satu persatu anggota polis gugur menyembah bumi. Keberanian para isteri yang turut mengangkat senjata juga tidak mampu melawan bilangan musuh yang ramai.

Peristiwa berdarah itu berakhir dengan 25 nyawa yang terdiri daripada 14 anggota polis, lima anggota Auxiliary Police (AP) dan enam ahli keluarga termasuk dua orang awam terkorban. Manakala empat lagi anggota polis mengalami kecederaan parah.

Seramai 40 pengganas telah berjaya ditumpaskan pasukan polis dalam serangan tersebut.

Semoga perjuangan setiap anggota polis dan ahli keluarga yang terkorban serta tercedera dalam peristiwa tersebut akan sentiasa dikenang oleh kita semua.

Marilah bersama kita sedekahkan Al-Fatihah buat para pejuang negara yang telah pergi. Semoga roh mereka dicucuri rahmatNya dan ditempatkan dengan para solihin.

Ingin ketahui lebih banyak informasi berkaitan sejarah dan artifak PDRM? Ayuh layari dan 'Like' FB Muzium Polis Diraja Malaysia!

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS