Menu

#COVID-19 KERATAN AKHBAR PILIHAN: WANITA BARISAN HADAPAN CEKAL MELAWAN VIRUS

Kuala Lumpur, 10 April 2020 - Hanya mampu berkomunikasi dengan anak melalui panggilan video, selain terpaksa menyerahkan sepenuh tugas menjaga bayi kepada pengasuh antara realiti pengorbanan ibu yang bertugas di barisan hadapan sepanjang krisis COVID-19, sekarang.

Mereka bukan sahaja berdepan risiko lebih besar dijangkiti wabak ini kerana banyak masa diperuntukkan menjaga keselamatan masyarakat, tetapi juga bimbang kemungkinan menyebarkan virus kepada ahli keluarga lain.

Bagi anggota trafik, Koperal Azliana Abu, 39, jadual tugasan yang tidak menentu khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksanya membuat keputusan meninggalkan bayinya yang baru berusia 11 bulan bersama pengasuh.

"Tugas sebagai anggota polis wanita terutama cawangan trafik sangat mencabar tambahan saya mempunyai anak kecil berusia 11 bulan, selain suami anggota tentera turut terbabit bagi pemantauan COVID-19.

"Disebabkan itu, sukar mengambil bayi di rumah pengasuh kerana tugas kami suami isteri biasanya keluar pagi sehingga ke malam.

"Jadi bagi mengelakkan sebarang risiko, walaupun sedih dan rindu, saya kuatkan diri untuk berjauhan dengan anak demi tugas dan keselamatan semua," katanya.

Koperal Azliana yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, memandangkan anaknya masih menyusu badan, beliau tetap menjalankan rutin mengepam susu setiap malam untuk diserahkan kepada pengasuh keesokan harinya.

"Dalam waktu krisis COVID-19 ini, tugas kami tidak menentu jadi ada ketika sehingga seminggu bayi terpaksa tinggal bersama pengasuh.

"Nasib saya baik kerana pengasuh boleh bertolak ansur, jadi kami suami isteri cuba sehabis daya untuk membantu keluarga mereka antaranya menyediakan keperluan makanan terutama barang dapur apatah lagi dalam tempoh ini tidak digalakkan keluar rumah," katanya yang turut bertugas dalam operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) sepanjang tempoh PKP ini.

Justeru, Koperal Azliana berharap rakyat Malaysia lebih peka terhadap bahaya wabak ini dengan turut memikirkan pengorbanan besar dilakukan dalam kalangan barisan hadapan.

"Jangan mudah memaki hamun kami apabila ditahan SJR. Sebaliknya, sahutlah saranan Perdana Menteri supaya duduk di rumah," katanya.

Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti berikut.

#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN

Image may contain: 5 people

 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS