Menu

#COVID-19 ARTIKEL PILIHAN: PADAH HINA POLIS, LELAKI SAMBUT RAMADAN DALAM PENJARA

Kuala Terengganu, 20 April 2020 - Tindakan biadap seorang lelaki menghina polis dengan kata-kata kesat ketika ditahan memakan diri apabila dijatuhi hukuman denda RM5,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Tertuduh, Ahmad Tarmizi Azman, 33, turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh yang gagal menjelaskan denda berkenaan terpaksa meringkuk dan menyambut Ramadan di penjara.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat dan mengaibkan terhadap polis dengan niat mendatangkan bangkitan marah.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, pada 5.30 petang, 18 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Fariz Irwan Mustafa dan Mohd Hafizuddin Abd Haris.

Dalam kejadian itu, tertuduh yang ditahan tidak memberi kerjasama ketika polis ingin melakukan pemeriksaan.

Tertuduh bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis yang berada di lokasi kejadian.

Sumber: Harian Metro

#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS