Menu

#COVID-19 POSTING PILIHAN: LUAHAN HATI KJSJ SELANGOR ATAS TRAGEDI MENIMPA ALLAHYARHAM KOPERAL SAFWAN


Bersama kita hayati luahan hati Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, SAC Dato' Fadzil Ahmat berhubung tragedi yang menimpa Allahyarham Koperal Safwan Muhammad Ismail.

Allahyarham yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda semasa menjalankan Op COVID-19 berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi semalam.

"Salam para pejuang Sang Saka Biru.

Saya diarahkan oleh Ketua Polis Selangor, CP Dato' Noor Azam Jamaludin untuk mengiringi jenazah anggota kita yang terkorban semasa menjalankan tugas Op COVID-19 di Kajang, Selangor.

4 Mei 2020 - Lebih kurang jam 2.30 pagi, setelah semua prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia diselesaikan, saya bersama konvoi meninggalkan Hospital Serdang bagi mengiringi jenazah untuk ke tapak persemadian di Perak.

Lebih kurang jam 5.30 pagi, kami sampai di Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak.

Sebagaimana biasa, berlandaskan esprit de corps pasukan, sahabat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak sedia menunggu menghulurkan segala bantuan.

Apabila tiba di tanah perkuburan, hati saya mula rasa sarat melihat keluarga dan adik beradik arwah sudah sedia menunggu. Bapa kepada arwah, Sarjan (B) Mohd Ismail (bekas anggota 69 Komando) juga ada di situ.

Tuan-tuan dan puan-puan ada anak. Saya ada anak. Kita semua ada anak. Dan ini anak beliau.

Semasa van jenazah sampai, beliau meminta kebenaran untuk menatap wajah anaknya yang telah kaku itu. Untuk makluman, bapa arwah hanya dapat menunggu di Tanjung Rambutan kerana tidak dapat bersama di Hospital Serdang atas sebab kesihatan. Jenazah telah siap dikafankan di Hospital Serdang.

Sebagai seorang bekas anggota, amat tertib cara beliau bila bercakap dengan pegawai atasan.

Dia dah sakit, tapi digagahnya juga untuk bercakap sebagai seorang anggota yang meminta izin daripada pegawainya.

Saya benarkan. Menitis air mata saya bila melihat beliau mengusap wajah jenazah anak beliau sambil bertasbih menguatkan semangatnya sendiri.

Sumpah memang sebak betul. Di samping itu, saya tidak tahu apa rasa yang ada dalam diri beliau semasa saya serahkan Panji Sang Saka Biru.

Di bawah panji itulah beliau membesarkan sembilan orang anaknya. Dan di bawah panji itu jugalah, seorang anaknya dikembalikan semula kepada Allah Azzawajalla.

Tetapi beliau masih lagi mendakap panji pasukan yang saya sampaikan dengan wajah yang berjuta rasa tu. Terketar-ketar menahan sebak.

Akhirnya jenazah dikebumikan sewaktu azan Subuh mula dilaungkan. Satu demi satu wajah bapa, ibu dan lapan orang adik beradik yang sedang duduk dalam jarak "sosial distancing" saya perhatikan, wajah mereka masing-masing menceritakan berjuta sayang dan rindu mereka kepada arwah.

Arwah kini menjadi satu bukti lakaran kesetiaan tugas kita kepada negara.

Apa lagi bukti yang perlu ditunjukan jika nyawa yang menjadi galang gantinya?

Beliau seorang anggota biasa, tetapi kematiannya luar biasa. Ketika ada antara kita yang sedang lena diulit mimpi bersama keluarga, sedang arwah di medan menjemput mara.

Kepada arwah, kita sedekahkan bacaan surah Al-Fatihah. Semoga tenang dan damai di sana dalam pelukan rahmat Allah SWT serta semoga diterima sebagai seorang syuhada.

Kepada semua pejuang Sang Saka Biru, kalau bukan kita siapa lagi?" - Ketua JSJ Selangor, SAC Dato' Fadzil Ahmat.

Sumber: Polis Selangor

#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN

Image may contain: 1 person, text

Image may contain: one or more people
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS