Menu

#PKPB #COVID-19 ARTIKEL PILIHAN: POLIS BURU RAKYAT LOLOS SJR

Serdang, 25 Mei 2020 - Polis sedang memburu segelintir individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan 'meloloskan diri' daripada sekatan jalan raya (SJR) untuk merentas negeri.

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador berkata, secara keseluruhannya, 95 peratus masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa, manakala masih terdapat lima peratus mereka ingkar arahan dikeluarkan.

"Sehari sebelum raya (kelmarin), kami mula mengambil tindakan kompaun terhadap mereka yang ingkar arahan.

"Malah, hari ini, kami sedang mengesan lima peratus mereka yang lolos merentas negeri dengan mengenakan kompaun melalui pemeriksaan dilakukan di lokasi SJR seperti di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Jalan Duta, Plaza Tol Sungai Besi dan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan di Plaza Tol Sungai Besi, dekat Serdang hari ini.

Tan Sri Abdul Hamid berkata, pihaknya menggalakkan anggota bertugas di SJR untuk mengenakan kompaun kepada mereka yang ingkar.

"Sebelum ini, anggota bertugas tidak mengeluarkan kompaun atas budi bicara mereka. Namun, sudah tiba masanya kami lebih berkeras terhadap perkara ini.

"Mungkin tindakan kami dilihat kejam kerana perlu bertindak menjaga keselamatan orang ramai.

"Namun apa juga cemuhan terhadap anak buah, saya terima dengan hati terbuka kerana tindakan diambil untuk kebaikan masyarakat sendiri," katanya.

Beliau berkata, selain penugasan di SJR, terdapat juga pasukan pemantau yang melakukan rondaan di kawasan perumahan bagi memastikan masyarakat mematuhi peraturan ditetapkan bagi sambutan Aidilfitri.

"Jika dilihat kepada pemantauan dan rondaan dilakukan di kawasan perumahan semalam mendapati tiada kereta berkumpul di satu-satu rumah.

"Malah, pergerakan kenderaan dalam daerah juga terkawal. Ini menunjukkan ramai masyarakat faham dan mematuhi nasihat pihak berkuasa supaya melakukan kuarantin diri," katanya.

Mengulas mengenai kegigihan anak buahnya menjalankan tugas ketika sambutan Aidilfitri, Tan Sri Abdul Hamid berkata, beliau melihat mereka bersemangat menjalankan tanggungjawab masing-masing.

"Tiada di antara mereka menunjukkan rasa kecewa dan tidak puas hati kerana dikehendaki bertugas pada hari raya.

"Apatah lagi, mereka terpaksa berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu iaitu panas dan hujan ketika ini," katanya.

Sumber: Harian Metro

#BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS