Kuala Lumpur, 2 Julai 2020 - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, bercadang mengenakan tindakan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, terhadap penganjur lumba haram.
Langkah itu dicadangkan selepas lumba haram dan memandu secara berbahaya dikesan semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.
Pengarah JSPT, DCP Dato’ Azisman Alias, berkata apabila POCA dikenakan, kegiatan lumba haram dijangka berkurangan disebabkan hukuman yang tegas dan berat dikenakan kepada penganjur.
"Ia bertujuan supaya kegiatan seumpama ini dihindarkan memandangkan hukuman mengikut akta itu seperti buang daerah boleh dikenakan terhadap penganjur terbabit.
"Tindakan POCA ini mampu memberikan kesedaran kepada mereka sebelum membuat satu tindakan yang melanggar undang-undang," katanya pada sidang media JSPT di Bukit Aman, di sini semalam.
Beliau berkata, semua pesalah yang menunggang motosikal secara berbahaya seperti berlumba dan merempit yang ditahan juga akan turut akan direkodkan dalam sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Secara tidak langsung, rekod berkenaan akan memberikan satu kesan buruk terhadap individu berkenaan terutama mereka yang terbabit dalam aktiviti lumba haram yang kebanyakannya adalah anak muda.
"Anak muda yang mempunyai rekod kesalahan berkaitan rempit atau berkaitan Seksyen 42, adalah sukar mereka memohon pekerjaan satu hari nanti kerana dikhuatiri akan ditolak disebabkan rekod mereka," katanya.
Dato’ Azisman berkata, PDRM memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan seperti lumba haram kepada polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar Berita Harian seperti berikut.
Sumber: Berita Harian Online
