Kuala Lumpur, 3 Julai 2020 - Seorang penganggur menggigil serta hampir rebah apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM27,000 atau penjara sembilan bulan kerana membuat hantaran jelik menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menggunakan profil Facebook palsu milik seorang wanita.
Hakim M. M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Sahril Zainudin, 26, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Hasil semakan media, sehingga jam 5 petang, OKS masih tidak membayar denda tersebut dan dihantar ke Penjara Kajang.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM9,000 atau tiga bulan penjara atas kesalahan menghantar komunikasi jelik dan RM18,000 atau penjara enam bulan atas kesalahan menggunakan akaun Facebook palsu.
Dalam penghakimannya, Edwin berkata mahkamah mengambil kira bahasa dan adat serta hantaran keterlaluan yang telah menghina dan menjatuhkan Agong sebagai raja berpelembagaan.
“Tindakan OKS juga yang mewujudkan akaun palsu dengan menggunakan nama Fatin Aslinda Abu Talib, 31, untuk membuat hantaran itu telah banyak mendatangkan kemudaratan dan menganiayai wanita itu,” katanya.
Beliau berkata penyalahgunaan media sosial seperti ini yang dilakukan oleh OKS dipandang berat kerana penama iaitu Fatin telah menerima ugutan culik dan rogol daripada orang awam yang tidak dikenalinya.
Bacaan lanjut seperti di pautan berikut https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1857088
Sumber: BERNAMA
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN