Putrajaya, 9 Julai 2020 - Seramai 1,391 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 235 tekong ditahan kerana cuba menceroboh sempadan negara secara haram terutama menggunakan lorong tikus, sejak 1 Mei lalu hingga semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan) Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut ditahan 91 individu yang disyaki penyeludup serta 46 kapal.
"Polis juga membuat 68 sekatan jalan raya Op Benteng dan memeriksa 38,393 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutama di lorong tikus.
"Polis menahan tujuh warga asing dalam sekatan jalan raya Op Benteng membabitkan kesalahan imigresen.
"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terbabit dalam penyeludupan masuk PATI," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan PKP di sini, semalam.
Sementara itu, Dato’ Sri Ismail Sabri berkata, polis menahan dan mengeluarkan kompaun kepada 12 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan pergerakan Pemulihan (PKPP) membabitkan lapan individu yang terbabit aktiviti sukan sentuh dan empat yang melakukan aktiviti melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, pada hari ke-27 pelaksanaan PKPP semalam, polis melalui Pasukan Bertindak Operasi Pematuhan yang membabitkan 3,398 Pasukan Pematuhan terdiri daripada 15,216 anggota, membuat 7,458 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP.
Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar terbitan Harian Metro seperti berikut.
Sumber: Harian Metro
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN