#PKPP #COVID-19
Kuala Lumpur, 15 Julai 2020 - Kerugian membabitkan kes penipuan penjualan topeng muka mencecah RM8.2 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga Ahad lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, CP Datuk Saiful Azly Haji Kamaruddin berkata, bagi tempoh berkenaan, sebanyak 789 kes telah direkodkan.
"Daripada jumlah kes itu, JSJK telah menangkap seramai 204 orang yang mana 78 telah dituduh di mahkamah.
"Siasatan polis mendapati antara kes yang dilaporkan adalah disebabkan sikap tamak seseorang itu membuat pembelian topeng muka dalam kuantiti yang besar dari China namun setelah membuat pembayaran, barang yang ditempah tidak sampai atau tersangkut akibat PKP," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Beliau berkata, suspek yang kononnya mendakwa dari China namun transaksi wang dibuat mangsa adalah ke atas akaun milik warga tempatan yang berperanan sebagai keldai akaun.
Katanya selain itu, faktor pembelian panik juga antara penyumbang kes tersebut susulan mangsa tidak membuat semakan terlebih dahulu.
"Ada kes di mana suspek menyamar dengan berkomunikasi menggunakan platform voice over internet protocol (VoIP) kononnya suspek berada di luar negara.
"Sebagai usaha mengatasi kes ini, kita bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan untuk menghalang aliran duit keluar. Polis juga berbincang dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar pihak telco menyimpan log panggilan," kata beliau.
Katanya, JSJK menasihatkan orang ramai jika mahu berinteraksi dengan syarikat penjual, lakukan semakan terlebih dahulu di www.ccid.rmp.gov.my/semakmule, Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police atau CCID Infoline di talian 013-2111222.
Sumber: Sinar Harian
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN