Menu

[KERATAN AKHBAR PILIHAN] TRAGEDI MH17: 10 HARI KUMPUL CEBISAN MAYAT

"Kami gunakan kaedah penggalian arkeologi secara berhati-hati sebelum berjaya mengumpul lebih 2,000 cebisan mayat mangsa pesawat Penerbangan Malaysia (MH17) yang terbenam dalam tanah dalam tempoh 10 hari. Malah, tinggalan rangka pesawat yang meletup turut ditemui."

Itu pendedahan eksklusif Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), DCP Dato’ Hussein Omar Khan kepada wartawan Harian Metro susulan ulang tahun ke-6 tragedi pesawat MH17, semalam.

Beliau yang pernah menjawat jawatan Ketua Databank DNA Makmal Forensik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman diamanahkan tugas besar mengetuai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam misi pencarian baki mayat dan serpihan pesawat MH17.

"Selepas sembilan bulan tragedi pesawat itu ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, saya bersama enam pakar forensik PDRM kembali semula ke lokasi tragedi berhampiran perkampungan Grobovo, Ukraine bermula 14 April 2015.

"Berbekalkan imej satelit selain dibantu pasukan dari Belanda, kami memulakan usaha mencari saki-baki cebisan mayat dan serpihan pesawat MH17 di lokasi tragedi yang masih bergolak," katanya.

Menurutnya, pasukan Australia bagaimanapun enggan turut serta kerana khuatir kewujudan bom jerangkap samar dipasang Kumpulan Pemisah Donestk (DSG) pro-Russia di Timur Ukraine.

"Bagaimanapun kami tetap meneruskan usaha ini walaupun terpaksa berdepan dengan tentera pemisah yang sentiasa mengekori kami bersenjatakan Rifel AK-47. Malah, suhu sejuk sekitar 4 darjah Celsius turut memberi cabaran fizikal.

"Kami menjalankan misi berbahaya ini selama 10 hari. Lebih mencabar apabila operasi mencari cebisan mayat dan rangka pesawat meliputi kawasan seluas 50 kilometer persegi," katanya.

Bacaan lanjut di pautan: https://www.google.com.my/…/www.hmetro.com.…/node/601101/amp

Sumber: Harian Metro

 
Image may contain: one or more people
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS