Kuala Lumpur, 6 Ogos 2020 - Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas empat pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Twitter, Mac lalu.
Sufazrin Amin Ismail, 26, selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim MM Edwin Paramjothy yang kemudiannya menetapkan 27 Ogos untuk menjatuhkan hukuman.
Sufazrin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiayai orang lain, melalui aplikasi Twitter menggunakan nama profil "Fazrin Ismail" atau "@Fazr_Ismail".
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Sufazrin Amin yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia berasal daripada keluarga susah dan ibunya bekerja sebagai penoreh getah.
"Saya sudah insaf dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana hantaran saya itu telah menimbulkan kemarahan ramai pihak.
"Saya berjanji tidak akan mengaibkan atau menghina mana-mana pihak lagi," katanya dalam nada sebak.
Berita penuh seperti di pautan berikut, https://www.hmetro.com.my/…/pemandu-e-hailing-mengaku-salah…
Sumber: Harian Metro
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN