Kuala Lumpur, 12 Ogos 2020 - Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLT), CP Dato' Sri Rosli Ab Rahman diraikan dalam penuh adat istiadat kepolisan sempena Majlis Paluan Berundur beliau di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, petang tadi.
Dato' Sri Rosli telah menabur khidmat dan baktinya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 32 tahun selepas menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan pada tahun 1989 sebelum dilantik menjadi Pengarah JLT mulai 23 Disember 2019.
Ketibaan beliau bersama isteri, Datin Sri Azizah Othman tepat jam 5.00 petang, disambut oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Seri Abdul Hamid Bador, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Pahlawan Mazlan Mansor dan Pengarah Pengurusan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Abd Rahim Jaafar.
Beliau kemudiannya menerima tabik 'Hormat Panglima' daripada Pancaragam Pusat PDRM membabitkan 80 pegawai dan anggota di bawah seliaan ketua pengarahnya, Superintendan Dr. Mohd Firdauz Abdullah.
Selain didendangkan dengan pelbagai persembahan khas, Dato' Sri Rosli turut diberi penghormatan untuk memimpin Pancaragam Pusat PDRM yang membawakan lagu kegemaran beliau iaitu 'dancing queen' daripada kumpulan ABBA.
Kemuncak majlis tadi ialah apabila Dato' Sri Rosli dan Datin Azizah bersama beberapa ahli keluarga lain diarak menggunakan kenderaan istiadat yang menggunakan pendaftaran nombor badannya iaitu G/11616.
Terdahulu di sebelah pagi, Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah JLT di antara Dato' Sri Rosli dengan Timbalan Pengarah l, JLT, DCP Dato’ Shukri Abdullah telah berlangsung di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, sambil disaksikan oleh Tan Sri Abdul Hamid.
Turut diadakan ialah Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JLT di antara Datin Sri Azizah dengan suri kepada Dato’ Shukri, Datin Rosnuwati Abd Rahman sambil disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datin Seri Norazrin Marzuki.
Dalam ucapan perpisahannya, Dato' Sri Rosli menyeru agar seluruh warga PDRM sentiasa mengekalkan semangat ‘esprit de corp’ yang tinggi disaat menghadapi cabaran demi memastikan pasukan sentiasa dihormati dan menjadi pelindung kepada masyarakat serta benteng kedaulatan negara.
Sepanjang karier beliau dalam PDRM, Dato' Sri Rosli telah memegang pelbagai jawatan penting seperti Timbalan Pengarah lll Jabatan Logistik, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Terengganu, Ketua Polis Pahang dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM, Timbalan-timbalan Pengarah, pegawai-pegawai kanan polis, ahli-ahli PERKEP serta rakan media.
Bagi pihak seluruh warga PDRM, kami mengucapkan SELAMAT BERSARA buat Dato' Sri Rosli Ab Rahman. Terima kasih atas khidmat dan bakti Dato' Sri kepada Pasukan selama ini.

Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman.

Upacara penyerahan tongkat kuasa jawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi antara CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman dengan DCP Dato’ Shukri Abdullah disaksikan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador.

CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman diberi penghormatan memimpin Pancaragam Pusat PDRM pada Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi di PULAPOL Kuala Lumpur.

Sekitar upacara serah terima tugas jawatan Pengerusi PERKEP Jabatan Logistik dan Teknologi antara Datin Sri Azizah Othman dengan Datin Rosnuwati Abd Rahman disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Puan Sri Datin Seri Norazrin Marzuki.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman menerima tabik hormat.

Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman.

Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman menandatangani buku pelawat di PULAPOL Kuala Lumpur buat kali terakhir.

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman di PULAPOL Kuala Lumpur.

Sekitar Majlis Paluan Berundur Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Dato’ Sri Rosli Ab Rahman.