Sejak pelbagai platform media sosial boleh menjana pendapatan kepada pengguna, ramai yang berlumba-lumbar ingin menghasilkan kandungan (content) yang menarik bagi meningkatkan jumlah penonton.
Salah satu trend kandungan yang sering dihasilkan ialah usikan atau "prank". Ia sama ada usikan itu menghiburkan atau boleh membahayakan diri sendiri dan nyawa orang lain.
Hal ini berlaku kepada dua personaliti TikTok terkenal, Alan dan Alex Stokes dari Amerika Syarikat yang melakukan "prank" dengan membuat rompakan bank palsu, semata-mata ingin video mereka menjadi "hit".
Lebih membahayakan, mereka turut melibatkan seorang pemandu e-hailing yang langsung tidak tahu menahu mengenai perancangan tersebut dan dia ditahan oleh pihak polis serta disoal siasat selepas dilaporkan oleh orang awam yang melihat 'rompakan' itu.
Kedua-dua personaliti itu kemudiannya didakwa atas pelbagai kesalahan berkaitan "prank" yang dilakukan dan jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum penjara selama empat tahun mengikut undang-undang di negara tersebut.
Peringatan mesra daripada kami, fikir dahulu baik buruk sebelum anda ingin mengusik orang lain. Ia mungkin kelihatan lucu pada anda, namun tidak semestinya kepada orang lain yang dikenakan atau melihat aksi tersebut.
Sumber: UNILAD