Kuala Lumpur, 15 September 2020 - Bermula sebagai sebuah stor barang kes jenayah untuk pembelajaran pelatih polis, Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Perdana di sini, kini menyimpan khazanah dan sejarah kegemilangan pasukan keselamatan yang berusia lebih 200 tahun itu.
Muzium yang asalnya ditempatkan di bangunan kayu biru putih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Gurney (kini Jalan Semarak) pada 1952, banyak menyimpan khazanah penting dan maklumat sejarah perkembangan institusi PDRM.
Dirasmikan pembukaannya pada 9 Jan 1961, oleh Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullai, antara artifak yang tersimpan termasuk senjata lama pistol flint-lock buatan British berusia lebih 300 tahun serta duit syiling Portugis yang berusia lebih 500 tahun.
Terdapat lebih 3,000 artifak seperti senjata, pistol, pedang, anak panah, meriam, kereta perisai, kenderaan pemadam api beroda, rajah, peta, pakai seragam polis zaman dahulu dan pelbagai dokumen yang dirampas dari komunis dan gambar pasukan dipamerkan buat tatapan pengunjung, agar dapat menelusuri jerit perih sejarah perjuangan pasukan keselamatan tertua negara itu.
Ketika penulis melangkah masuk ke perkarangan muzium berkenaan, di bahagian luar muzium tersergam kereta perisai, pesawat terbang dan meriam lama British jenis HMW berusia 103 tahun yang pernah digunakan polis Kedah di Balai Polis Sungai Petani pada tahun 1940.
Pengarah Muzium PDRM, Superintendan Tuan Selamat Sainayune berkata, penerokaan di muzium berusia hampir 70 tahun ini akan memberi perspektif baharu kepada pengunjung apabila dapat melihat sendiri ribuan khazanah dan sejarah perkembangan pasukan itu di negara ini.
Bacaan lanjut seperti di pautan berikut https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1879813
Sumber: Bernama
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN