Kluang, 17 September 2020 - Seorang anggota sukarelawan polis (PVR) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang cedera dirempuh penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di sini, semalam.
Kejadian itu berlaku ketika Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kluang sedang membuat operasi Op Motosikal di Jalan Hashim di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, DSP Abdul Razak Abdullah Sani berkata, akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.
"Pada pukul 11 malam, sebuah motosikal membuat pusingan U untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya tersebut.
"Dalam cubaan melarikan diri, suspek telah melanggar seorang anggota PVR yang terlibat di dalam operasi tersebut. Akibat rempuhan itu, mangsa dan suspek terjatuh, namun penunggang motosikal itu berjaya melarikan diri dari tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata, anggota polis yang cedera dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) dan dilaporkan stabil.
Katanya, polis kemudian berjaya menangkap suspek berusia 20 tahun itu yang turut mengalami kecederaan tangan.
Sumber: Utusan Online
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN