Tragedi berdarah di Markas Briged Tengah Pasukan Polis Hutan (PPH) di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur pada 3 September 1975, memberi kesan emosi yang sangat mendalam kepada Sub Inspektor (Bersara) Yusof Hasan.
Tahun ini, genap 45 tahun peristiwa yang menyebabkan dua rakan sejawatan yang dianggap seperti adik kandung sendiri iaitu Allahyarham Konstabel Yusof Abdul Rahman dan Konstabel Abdul Hamid Mahmud yang ketika itu berusia awal 20-an, gugur dalam serangan tersebut.
Menceritakan kisah di sebalik serangan yang berlaku pada awal pagi itu, SI (B) Yusof berkata, ketika kejadian beliau baru selesai operasi dan diberi taklimat.
“Ketika itu jam 8.30 pagi pasukan saya baru selesai operasi dan diberi taklimat sebelum setiap anggota perlu memulangkan senjata dan peralatan hutan yang dibawa. “Tiba-tiba bunyi letupan kuat berlaku menyebabkan semua anggota yang sedang berehat bertempiaran lari mencari tempat berlindung bagi mengelak daripada terkena serpihan letupan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini. Menurutnya, pada awalnya, beliau menyangkakan tong gas yang meletup, namun sebaliknya mereka diserang hendap oleh pihak komunis.
“Tragedi itu telah mengorbankan dua anggota, 52 anggota cedera dengan 18 daripadanya parah.
“Sebanyak empat butir bom tangan dilemparkan oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dari luar pagar ke dalam kawasan lapang di mana sesi taklimat itu diadakan.
“Dua daripada empat butir bom tangan itu meletup menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut,” katanya.
Bacaan lanjut di pautan seperti berikut, https://www.sinarharian.com.my/…/Komunis-baling-bom-dalam-k…
Sumber: Sinar Harian