Kuala Lumpur, 4 Oktober 2020 - Belum ada keperluan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua di seluruh negara walaupun angka kes COVID-19 naik mendadak sejak kebelakangan ini.
Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan yang diambil ketika ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang telah dikenakan ke atas empat daerah di Sabah sudah memadai.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, beliau menegaskan, apa yang perlu dilakukan sekarang ini ialah mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP), selain menutup semua laluan sempadan darat dan laut.
"SOP penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka yang dilihat semakin terabai akan dikuatkuasakan dengan ketegasan maksimum," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Mengulas lanjut, Tan Sri Abdul Hamid menegaskan aktiviti-aktiviti terlarang juga akan ditangani dengan tindakan paling tegas daripada pihak polis.
"Selepas ini kita akan dapat saksikan lebih banyak tangkapan dan saman dikenakan ke atas mereka yang ingkar SOP selain pelanggaran perintah kuarantin," tegas beliau.
Bacaan lanjut seperti dalam keratan akhbar terbitan Utusan Malaysia.
Sumber: Utusan Online
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN