Sungai Petani, 5 Oktober 2020 - Polis menahan lima ahli Geng Fizi termasuk dua beranak yang terbabit dalam kes pecah rumah di Bandar Utama di sini, mengakibatkan kerugian RM2 juta bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Tuan Adzli Abu Shah berkata, semua suspek ditahan antara 19 September hingga 1 Oktober lalu sekitar Kupang dan Bukit Selambau, Kedah serta di Jalan Pudu, Kuala Lumpur.
Jelasnya, semua suspek lelaki berusia 26 hingga 56 tahun itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah sekitar daerah Kuala Muda sejak awal tahun ini.
"Penahanan mereka susulan laporan dibuat suri rumah berusia 54 tahun yang kerugian RM2 juta selepas kediamannya dipecah masuk pada 14 September lalu.
"Dalam kejadian jam 2.40 petang, mangsa yang baharu pulang mendapati pintu pagar rumahnya terbuka sebelum mendapati peti besi di bilik tidur utamanya dipecahkan.
Pemeriksaan mendapati wang tunai RM1.7 juta, sejumlah mata wang asing, barang kemas dan dua beg mangsa hilang," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini, semalam.
Bacaan lanjut seperti di keratan akhbar terbitan Harian Metro.
Sumber: Harian Metro