Jitra, 9 November 2020 - Polis mengambil tindakan terhadap seorang kanak-kanak kerana menunggang motosikal di Kampung Paya Chegar di sini selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, selain kanak-kanak terbabit, tindakan undang-undang turut dikenakan terhadap warisnya yang hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu kira-kira pukul 2.40 petang tadi.
“Kanak-kanak lelaki yang berusia di bawah 10 tahun itu dikenakan tindakan di bawah kesalahan lalu lintas iaitu menunggang motosikal di bawah umur, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta tidak memakai topi keledar.
“Manakala waris kanak-kanak tersebut diambil tindakan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sumber: PDRM Kubang Pasu DAN Kosmo Online