Kuala Lumpur, 9 Disember 2020 - Menyedari keperitan hidup anggota polis di bandar-bandar besar, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador sekali lagi meminta kerajaan menimbang kenaikan elaun tetap perumahan untuk anggota pasukan keselamatan itu.
Memberi contoh seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terpaksa menunggang motosikal berulang setiap hari dari Sijangkang, Selangor untuk ke pejabat berikutan sewa rumah yang mahal di ibu kota, Tan Sri Abdul Hamid berkata, elaun perumahan RM300 yang diterima sekarang tidak dapat menampung kadar sewa di bandar-bandar besar.
“Saya tidak minta gaji polis naik tetapi saya minta elaun rumah mereka dinaikkan kerana anak buah saya (anggota polis) yang terpaksa menyewa di sekitar Lembah Klang memang berhadapan kos sara hidup yang tinggi. Bayangkan mereka yang bertugas di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
“Anak buah saya yang bergaji anggaran RM2,500 sebulan selepas tolak pelbagai komitmen mungkin berbaki RM1,500 jadi apa yang mereka ada?, Itu yang menggalakkan mereka tahan orang dan jatuh hukum di situ juga, jadi ‘majistret jalanan’ (ambil rasuah),” katanya.
Sumber: Facebook Abdul Hamid Bador dan
BERNAMA
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1910514&fbclid=IwAR3e1EeClf6fWWsq0f3_v2PlceZ7lGSBU9l0unsRwk_qoDLcChvxw6GxZoc