Bentong, 15 Disember 2020 - Polis menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya kira-kira 1,500 pekerja di Genting Highlands ditempatkan di sebuah hotel di pusat peranginan itu selepas disahkan positif COVID-19.
Ketua Polis Pahang, CP Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata hasil saringan yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kesemua pekerja terlibat negatif COVID-19, namun ditempatkan di hotel itu bagi tujuan kuarantin selama 14 hari.
"Langkah itu (kuarantin) diambil oleh pihak Genting Highlands selepas merujuk jawatankuasa task-force COVID-19 Pahang bagi memudahkan usaha menjaga kebajikan kakitangan mereka dan kita berterima kasih atas inisiatif tersebut.
"Dakwaan bahawa Genting Highlands diletakkan dalam situasi ‘lockdown' juga tidak benar dan orang ramai masih boleh berkunjung ke situ, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong di sini, hari ini.
Dato’ Sri Abd Jalil menjelaskan hanya tiga lokaliti di Bentong iaitu Ria Apartment, Amber Court Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 10 hingga 23 Dis ini.
Bacaan lanjut seperti di pautan berikut, https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1912408
Sumber: BERNAMA
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN