Serdang, 23 Disember 2020 - Kegiatan sebuah syarikat yang berselindung di sebalik aktiviti pemprosesan cuka kayu getah bagi memproses kayu gaharu secara haram terbongkar selepas polis menyerbu tiga buah premis di Taman Puncak Jalil, dekat sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Tuan Razali Abu Samah berkata, syarikat memproses kayu gaharu secara haram tersebut dipercayai telah beroperasi sejak dua tahun lalu.
"Kita merampas 10 batang pokok gaharu, 16 guni habuk kayu gaharu, 37 tong cecair dan kulit kayu gaharu seberat 10 kilogram, kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM2 juta," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian pada Selasa.
Tuan Razali berkata, pihaknya menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri berusia 30 hingga 50 tahun dalam serbuan kira-kira jam 8.30 pagi.
Beliau berkata, seorang lelaki yang merupakan pemilik premis berusia 58 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.