Kuala Lumpur, 23 Disember 2020 – Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani berbesar hati merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agung Kali Ke-13 Kelab Kebajikan dan Sukan Polis Diraja Malaysia (KKS PDRM), di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM Cheras, Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.
Berucap dalam majlis tersebut Dato’ Sri Acryl Sani berkata, sejak KKS PDRM ditubuhkan pada tahun 2007 ia telah membantu dalam memberikan sumbangan dan sokongan kebajikan yang diperlukan oleh ahli-ahlinya serta turut memainkan peranan bekerjasama dengan Pasukan dalam merealisasikan dasar-dasar kerajaan khususnya di dalam bidang kepolisan.
Selain itu, beliau berharap agar pihak pengurusan persatuan sentiasa mengamalkan perbelanjaan secara berhemah sebagaimana yang disarankan oleh kerajaan kepada seluruh jabatan serta agensi kerajaan yang lain.
Dalam majlis yang sama, Dato’ Sri Acryl Sani turut menyampaikan Baucar Sumbangan Grant KKS Tahun 2020 kepada 26 penerima sumbangan yang terdiri daripada wakil persatuan-persatuan PDRM dan Tabung Kebajikan, Sukan dan Sosial (TKSS) Kontinjen, Briged serta Formasi bagi menyemarakkan lagi aktiviti kebajikan, sukan juga sosial dalam kalangan warga Pasukan.
Terdahulu di sebelah pagi, berlangsungnya mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah Pengurusan selaku Pengerusi KKS PDRM, CP Dato' Ramli Haji Din bertujuan membentang dan mengesahkan laporan tahunan serta penyata kewangan kelab sepanjang tahun 2020.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan merangkap Timbalan Pengerusi KKS PDRM, DCP Datuk Wira Mat Kasim Karim, barisan Pengarah Jabatan PDRM, Ahli Jawatankuasa KKS PDRM, wakil Persatuan Pegawai Kanan Polis dan Persatuan Pegawai Rendah Polis, serta wakil Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis (PACSU).

Bergambar kenangan.

Mesyuarat dimulakan dan dipengerusikan oleh Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sukan (KKS) PDRM, CP Dato’ Ramli Haji Din.

Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani menandatangani buku pelawat.

Ucapan Perasmian Penutup oleh Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Seri Acryl Sani Haji Abdullah Sani.

Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani menyampaikan baucar sumbangan grant KKS Tahun 2020 dan bayaran balik yuran Julai – Disember 2020 kepada Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan merangkap Timbalan Pengerusi KKS PDRM, DCP Datuk Wira Mat Kasim Karim.