Kuala Lumpur, 24 Disember 2020 – Kira-kira 300 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hari ini menghadiri Majlis Perbarisan Perpisahan serta Paluan Berundur Ketua Pengarah AADK, CP Dato’ Sri Zulkifli Abdullah yang akan bersara wajib bermula 27 Disember di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur (KL), di sini, petang tadi.
Ketibaan beliau bersama isteri, Datin Sri Noraini Abdul Jalil tepat jam 5.00 petang, disambut oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Seri Abdul Hamid Bador, Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato’ Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani dan Pengarah Pengurusan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato' Ramli Haji Din.
Menyingkap kembali perjalanan karier beliau yang telah berkhidmat selama hampir 37 tahun di dalam pasukan PDRM bermula sebagai pelatih Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP) di PULAPOL KL, pada 8 Januari 1984, sebelum dilantik sebagai Pegawai Kanan Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan kemudiannya dinaikkan pangkat Timbalan Ketua Polis Daerah, IPD Pasir Mas, Kelantan pada tahun 1985.
Antara portfolio lain yang disandang beliau adalah Ketua Unit Siasatan Korporat, Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan) dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi) di kontinjen Johor pada tahun 2002.
Kelayakan dan kewibawaan serta kecemerlangan beliau yang ditonjolkan dalam Pasukan akhirnya membawa kepada pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negeri (KP) Kelantan dengan pangkat Senior Asisten Komisioner Polis 1 pada tahun 2005, KP Perak dan KP Kuala Lumpur dengan pangkat Deputi Komisioner masing-masing pada tahun 2007 dan 2010.
Kerjaya beliau sampai ke kemuncaknya apabila dilantik sebagai Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi pada 18 Mei 2011 seterusnya menjawat jawatan sebagai Pengarah Pengurusan dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam.
Pemikiran yang kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan bagi memastikan kecekapan dan kualiti perkhidmatan dipertingkatkan, beliau berjaya membangunkan dasar-dasar baharu yang seiring dengan fokus utama PDRM dengan memperkenalkan ‘Modern’ Policing, Dasar Kecemerlangan Sukan dan Kesenian, Kenaikan Pangkat Laluan Pantas (fast track), ‘Future Echelon’ serta ‘Trim and Fit’. Beliau turut menubuhkan Badan Seni Budaya PDRM yang dikenali BSB di mana seramai 26 orang penari terpilih (pengambilan khas) untuk diserapkan sebagai anggota polis pada tahun 2016.
Kewibawaan dan kecemerlangan mutu perkhidmatan serta kepimpinan yang dipamerkan dan dibuktikan, Dato' Sri Zulkifli telah diberi tanggungjawab yang besar iaitu menerajui AADK pada tanggal 20 Ogos 2018.
Selama dua tahun memegang jawatan Ketua Pengarah AADK, beliau telah banyak membawa perubahan dan memartabatkan AADK antaranya memperkenalkan projek rintis iaitu Inisiatif Bersepadu Menangani Penyalahgunaan Dadah Substan dan Pelencongan Sosial.
Projek rintis tersebut diwujudkan agar segala pergerakan dan tindakan menyeluruh dapat dilaksanakan menerusi kolaboratif kementerian, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memerangi dadah secara habis-habisan sekaligus membuktikan AADK sebagai agensi utama memerangi isu dadah secara total sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Pengorbanan, jasa, bakti, kredibiliti, kebijaksanaan, komitmen dan kecekapan beliau sepanjang perkhidmatan semestinya akan menjadi panduan serta ikutan kepada legasi yang ditinggalkan.
Yang turut hadir, barisan Pengarah PDRM, warga PDRM dan AADK serta rakan media.
Bagi pihak seluruh warga PDRM, kami mengucapkan terima kasih di atas segala jasa yang telah dicurahkan kepada pasukan dan selamat bersara buat CP Dato’ Sri Zulkifli Abdullah.